Friday, January 25, 2013

Alfatihah untukmu sahabat

Maulidirasul mengingatkan aku tarikh pergi seorang sahabat yang kami banggakan dizaman persekolahan kami.
Captain itulah gelarannya, ketua pasukan bolasepak sekolah yang buat julung kalinya merupakan pelajar sekolah yang pertama terpilih untuk mewakili pasukan bola Negeri Sembilan.
Inilah nukilan saya mengenai peristiwa itu, nukilan yang di abadikan dalam memento Sdarian 67-74

Alfatihah untukmu sahabat

12 RabiulAwwal
Tahun 2003 Masehi
Takkan ku lupa
Tarikh keramat ini
Kunjungan terakhirmu
ke Kuala Mangga
Sungai Mangga
Royal Belum

12 RabiulAwwal
Tahun 2003 Masehi
Takkan ku lupa
Tarikh keramat ini
Kunjungan pertamaku
Ke Lubuk Dua Beradik
Sungai Sara
Royal Belum

Entah kenapa
Sewaktu engkau menghadapi
Kegawatan detik akhirmu
Aku terpijak ular
Dan sebatang gigiku
Gugur di Sungai Sara

Ketika airmata Zul Black
Berderai menimpa pipimu
Di tepi Sungai Mangga
Aku masih terkinja
Mengintai Tengas
Ikan kegemaranmu

Sembila purnama
Sepeninggalanmu
Aku ke Sungai Mangga
Mencari bekas dan jejakmu
Di Kuala Mangga
Lubuk kegemaranmu

Kuala Mangga mu
Tidak seindah dulu
Banyak lori hantu
Menodai tepiannya
Pacuan empat roda
Turut menggagahinya
Pukat, jaring dan jala
Bermata satu inci
Tuba, bom dan bateri
Bersantai didasarnya
Merobek segala
Cucu cicit dan puit
Tengas kesayanganmu

Bersemadilah engkau sahabatku
Dalam redha Ilahi
Ketahuilah juara tengasku
Takkan aku termampu
Menjaga warisanmu
Dan tengas kesayanganmu
Di Kuala Mangga

Wan Sharif 19 Mei 2004

Alfatihah untukmu Captain @ Zainal Abidin Shaari
sempena pemergianmu tanggal 14 Mei 2003.